Penemuan arkeologi Bukit_Siguntang

Dalam tahun 1920-an, sebuah patung Buddha ditemui di bukit ini. Patung itu semula dalam keadaan kepingan. Bahagian kepala ditemui pertama, dan beberapa bulan kemudian bahagian badan pun ditemui pula, sedangkan bahagian kaki masih hilang sama sekali. Patung setinggi 277 cm ini diperbuat daripada batu granit, yang biasa ditemui di kawasan jiran Pulau Bangka. Patung mengikuti gaya Amaravati yang berkembang di India Selatan sekitar abad ke-2 hingga ke-5 M. Gaya ini ditiru semasa era Srivijaya, dan asal patung dianggarkan sekitar abad ke-7 hingga ke-8 M. Patung ini dipamerkan di Muzium Sultan Mahmud Badaruddin II, yang berhampiran dengan Benteng Kuto Besak.

Di kawasan bukit ini juga didapati serpihan patung Boddhisattva, runtuhan stupa daripada batu pasir dan bata, pecahan batu bersurat, patung Boddhisattva daripada batu, patung Kuwera, dan patung Buddha Vairocana dalam keadaan duduk yang lengkap disertai prabha (tanda halo) dan chattra (payung). Pecahan batu bersurat itu dikenali sebagai Batu Bersurat Bukit Siguntang, yang menyebut pertempuran besar yang menumpahkan banyak darah di Bhumi Srivijaya. Kandungan batu bersurat itu telah diterjemah oleh de Casparis (1956), yang di antaranya tertera:

baris ke-5 //vanak pramirahna//, yang bererti "banyak darah yang tertumpah"baris ke-9 //pauravirakta//, yang bererti "merah oleh darah penduduknya"baris ke-10 //tida tahu pira marvyu(ha)//, yang bererti "tidak tahu berapa banyak yang berperang"

Batu bersurat itu juga menyebut sumpahan bagi mereka yang melakukan perbuatan jahat.[1]

Di sebelah selatan bukit terdapat tempat peninggalan zaman purba bernama Karanganyar, di mana ditemui pecahan seramik dari masa dinasti Tang dan awal dinasti Song. Dua batu bersurat, iaitu Batu Bersurat Talang Tuwo dan Batu Bersurat Kedukan Bukit, ditemui di kawasan sekitar dalam tahun 1920-an.[2]